Monday 26 December 2011

KERAJAAN PERSEKUTUAN BAGI RM15JUTA KPD KERAJAAN KELANTAN!

PASIR PUTEH 25 Dis. - Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan lebih RM15 juta untuk projek pembinaan baru dan kerja membaik pulih masjid di seluruh Kelantan dalam tempoh tiga tahun lalu. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan itu termasuk membina masjid baharu di kawasan Parlimen Machang, Ketereh dan Gua Musang. 

"Kita masih menerima banyak permohonan bagi tujuan berkenaan dan ia akan diambil perhatian serius dalam usaha menyediakan prasarana rumah ibadat yang lengkap dan selesa untuk ahli kariah membangunkan syiar Islam secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM500,000 kepada Masjid Mukim Pulau Lima di sini kelmarin. 

Sumbangan bagi membesarkan ruang ibadat masjid berkenaan telah disampaikan kepada Imam Tua Masjid Mukim Pulau Lima, Abdul Ghafar Awang. Ia sebagai menunaikan janji yang dibuat oleh Perdana Menteri sewaktu melakukan lawatan ke masjid berkenaan 2 Julai lalu. 

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha. 

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, masjid perlu berada dalam keadaan sempurna kerana ia melambangkan kekuatan dan keutuhan umat Islam. 

"Fungsi masjid perlu ditingkatkan dengan turut berperanan sebagai medan perpaduan. Golongan muda juga perlu didekatkan dengan masjid melalui program tarbiah Islamiah dan pendidikan. 

"Langkah ini perlu supaya mereka mempunyai jati diri dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak lain yang sentiasa mencari peluang merosakkan adat resam, budaya dan pengamalan ajaran Islam sebenar. Ini sahaja langkah berkesan untuk menangani kes murtad yang dilaporkan berlaku baru-baru ini," katanya. 

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, peruntukan itu akan dibelanjakan untuk membesarkan masjid berkenaan bagi menampung 300 hingga 600 jemaah.